Friday, October 23, 2009

SALAM IMTIHAN!!


Sedar atau tidak, peperiksaan akhir semester bakal menjelang tidak lama lagi.. Maka, mahasiswa dan mahasiswi sibuklah membuat pecutan terakhir bagi menghadapinya. Masing-masing tidak mahu mengalah kerana masing-masing mahukan yang terbaik.. InsyaALLAH, semoga apa yang kita hajati akan tertunai..




Monday, July 6, 2009

Pendakwah Mesti minat kepada manusia

Pendakwah Berminat Dengan Manusia


Good morning Mr. Adidas!” sapa budak itu.

Good morning Tony,” saya membalas dengan senyuman.

Are you going to work?” beliau bertanya lagi.

Indeed. And you, to school?” saya menjawab dan menambah ramah mulut dengan soalan untuknya.

Yes, I am,” balasnya.

Namanya Tony. Beliau berketurunan Vietnam. Baru berusia enam tahun dan tinggal di kawasan sekitar Westbound Grove. Setiap hari, saya akan berselisih dengannya kerana kami menaiki bas yang sama. Saya bertolak dengan double decker merah nombor 7 dari Ladbroke Grove menuju Edgware Road. Beliau pula bersama emaknya akan menaiki bas yang sama di Westbound Grove.

Apa yang sering mengingatkan saya kepada Tony ialah, beliau merupakan satu-satunya ‘penduduk tempatan’ yang sempat saya kenali selama lebih setahun bermastautin di Kotaraya London. Anak kecil itulah yang tanpa segan silu menegur saya, dan emaknya yang di sisi hanya senyum melihat perbualan harian saya dengannya.

Saya di Kota London, hanyalah seorang pencuci pinggan.

Sesekali berkhutbah Jumaat di Masjid Malaysia Hall di Bryanstone Square.

Saya tidak berupaya untuk berhubung dengan sesiapa dari kalangan penduduk tempatan kerana komuniti kota London amat rencam dengan 1001 bangsa dan kaum yang menghuninya. Malah, sebahagian komuniti bukan Inggeris memilih untuk hidup secara berkelompok dan jangan terkejut jika ada orang Bangladesh yang sudah 20 tahun menghuni East London, tetapi tidak berbahasa Inggeris.

East End itu ialah mini Bangladesh!


BERBEZA DI IRELAND

Tetapi pengalaman saya berbeza selepas berpindah ke Ireland Utara.

Masyarakat Irish di sana lebih menghargai pengalaman berinteraksi dengan orang asing. Keramahan semulajadi mereka memberikan ruang yang lebih untuk orang asing seperti saya berinteraksi.

Good morning, son!” sapa seorang makcik tua di perhentian bas.

Teguran-teguran ramah mesra seperti ini adalah perkara biasa di Ireland. Malah ada kalanya saya merasakan seolah-olah orang Irish ini banyak berkongsi sifatnya dengan orang Melayu. Selain kerap terlewat ala-ala ‘janji Melayu’, kaum perempuan juga ada tabiat bersembang di pagar-pagar rumah, bergosip tentang kisah terkini di dalam drama Coronation Street atau Eastenders.


FRANK MCCOURT

Mungkin inilah sebab mengapa saya jatuh hati dengan karya-karya Frank McCourt.

Beliau bukanlah seorang ahli sastera atau tokoh budaya. Namun novel-novelnya amat melumatkan hati saya membacanya. Ketawanya membuat saya ketawa, sedihnya membuatkan saya berduka. Amat beremosi. Saya menyukai karya Frank McCourt kerana ia mengingatkan saya tentang Ireland.

Mengubat rindu saya dengan selembar perjalanan hidup selama bermastautin di sana.

Mungkin tidak ramai dari kalangan pembaca yang mengenali Frank McCourt, jauh sekali untuk meminatinya. Malah tujuan saya melakarkan catatan ini bukanlah untuk mengajak pembaca menanam minat kepada Frank McCourt dan buku-buku karangannya. Namun saya memilih untuk meluahkan isi hati saya tentang buku beliau, TEACHER MAN, lantaran kerinduan saya kepada Ireland!

Saya mengenali Frank McCourt melalui novel pertama beliau ANGELA’S ASHES iaitu semasa saya tinggal di Belfast. Tidak lama selepas buku pertamanya diterbitkan, novel tersebut telah difilemkan dan ia menjadi filem yang popular. Semenjak membaca novel pertamanya, saya jatuh hati dengan karangan-karangan Frank McCourt.


Sejurus sebelum saya pulang ke Malaysia pada tahun 2004, Frank McCourt menghasilkan pula bukunya yang kedua, iaitu ‘TIS: A MEMOIR. Dan selepas itu, saya berpeluang untuk menyambung kembara saya bersama Frank McCourt melalui novelnya yang ketiga, Teacher Man.

Apakah yang menarik tentang novel-novel McCourt?


Saya mula menghargai budaya Irish, semasa saya belajar mengulas filem Into The West , iaitu suatu filem Irish yang menceritakan tentang kembara dua kanak-kanak mencari ‘roh’ ibu mereka. Ia adalah cerita yang boleh membantu kita mendalami watak dan cara hidup golongan Travellers, iaitu ‘badwi Irish’ yang hidupnya berpindah randah, dan sering dikaitkan dengan jenayah serta dipandang rendah oleh penduduk ‘tetap’. Filem ini menjadi silibus di dalam kelas persediaan saya semasa mengambil ujian IELTS di The Queen’s University of Belfast.


Berbalik kepada novel-novel Frank McCourt, daya tarikan utama karyanya mungkin terletak kepada kejujuran beliau dan sifatnya yang bersahaja di dalam penceritaan itu. Asalnya Frank McCourt yang kini telah bersara daripada profesyen perguruan Bahasa Inggerisnya di New York, menulis novel Angela’s Ashes hanya dengan tujuan untuk mengabadikan penderitaan hidupnya sebagai kanak-kanak Katholik di Ireland, untuk dibaca dan dikenang oleh anak cucunya. Tanpa dijangka, novel itu ‘meletup’ terutamanya selepas ia difilemkan dengan sebaris pelakon handalan seperti Alan Parker dan Emily Watson.

Adik-beradiknya mati kerana kekurangan makanan, ayahnya penyayang tetapi kaki arak, ibu pula gigih membesarkan anak-anak dengan seribu penderitaan, diabadikan di dalam gaya bahasa bersahaja yang boleh menjadikan saya tersangkut dua tiga hari dengan novel itu, semata-mata untuk mengetahui kesudahan cerita.


Paling menyedihkan, semasa Frank McCourt melihat kelibat ayahnya yang pergi meninggalkan kampung halaman untuk ke England, mencari kerja untuk mengubah keadaan diri dan keluarga. McCourt sedih kerana dia mahu menjerit “I love you, dad” kepada ayahnya, tetapi takut ditertawakan oleh jiran. Masyarakat Ireland di masa itu mungkin banyak persamaan dengan satu sifat masyarakat Melayu yang malu untuk menunjukkan perasaan, menyatakan kasih dan sayang. Malah kekadang bapa menunjukkan kasihnya dengan menyiku kepala anak-anak sehingga benjol.

Novel ‘Tis pula menceritakan tentang perjalanan McCourt ke Amerika untuk belajar. Dengan seribu kemiskinan tetapi berbekalkan azam yang tinggi, Frankie berjaya menempatkan dirinya di Universiti walaupun tidak bersekolah. Di situlah akhirnya McCourt berjaya menjadi guru di sekolah menengah di New York. Sukarnya untuk dia mengajar pelajar di sekolah itu, kerana dia sendiri tidak pernah bersekolah. Selepas berjaya mengumpulkan duit, beliau pulang ke Ireland untuk mencari adik beradik dan ahli keluarganya. Di situlah pada saya, novel Angela’s Ashes berakhir, iaitu selepas ibunya meninggal dunia dan sisa-sisa deritanya membesarkan anak-anak, hanyut bersama debu mayat ibu Frankie, Angela.

Novel ketiga Frank McCourt, Teacher Man, telah saya selesaikan kembaranya.

Ia adalah coretan pengalaman beliau mengajar dan sememangnya penuh dengan kelucuan bersulam kesedihan. Hari pertamanya di sekolah, beliau gagal menarik perhatian anak-anak murid, dan terpaku melihat mereka bergaduh di dalam kelas. Apabila seorang pelajar mencampakkan sandwich ke lantai, Frank McCourt secara spontan mengutipnya di lantai dan memakan sandwich tersebut. Tergamam sungguh semua pelajarnya.


Frank McCourt dimarahi oleh Pengetua kerana makan di dalam kelas, tetapi dia sendiri tidak pasti mengapa dia secara spontan menjamah sandwich tersebut. Mungkin kerana hidupnya yang lapar semenjak lahir, hari itu dia tersentuh melihat sandwich terbuang ke lantai, oleh anak-anak Amerika yang hidupnya serba cukup tetapi masih kurang ajar kepada ibu bapa. Semenjak itu, Frank McCourt menjadi guru favourite di sekolah tersebut.


Di celah-celah tulisan Frank McCourt, memang ada bahasa yang kesat, ada kelakuan yang buruk. Jauh sekalilah jika mahu dibandingkan dengan Ayat-ayat Cinta dan Bila Cinta Bertasbih.

Namun sebagai Muslim, saya membacanya dengan tapisan nilai diri sebagai Muslim. Saya membacanya bukanlah kerana saya mahu membudayakan diri atau pembaca dengan budaya negatif itu. Tetapi saya membacanya semata-mata kerana satu sebab.

Saya berminat dengan manusia.


BERMINAT DENGAN MANUSIA

Saya suka menelaah kelakuan manusia, mengkaji kecenderungan yang mencorakkan kehidupan manusia malah meyakini bahawa warna-warna alam sekitar hari ini adalah terjemahan kepada kemanusiaan manusia.


Berminat dengan manusia, adalah pra syarat seorang pendakwah.

Pendakwah perlu sedar bahawa tugasnya adalah untuk menterjemahkan kehendak titah Pencipta manusia untuk ditempa ke atas manusia ciptaan Dia. Pendakwah harus kenal Allah dan kenal manusia.


Mesejnya mesti Rabbani, pendekatannya mesti manusiawi.


Apabila pendakwah tidak menjaga kemanusiaan manusia, dia telah melanggar sehimpun sunnatullah aturan-Nya.

Justeru untuk menyampaikan dakwah yang manusiawi, pendakwah mestilah berminat dengan manusia…


Kredit kepada Ust.Hasrizal Jamil, artikel ini dipetik daripada saifulislam.com

Thursday, July 2, 2009

Simfoni Dakwah

Pendakwah Muda USIM perlu tahu Uslub Dakwah


Perbincangan ini adalah mengenai pendakwah muda USIM mengetahui selok-belok kaedah yang berkesan bagi menyampaikan mesej dakwah, sama ada di kalangan saudara-saudara seagama, ataupun kepada mereka yang bukan Islam. Ia lebih dikenali dalam konteks dakwah sebagai 'uslub dakwah' atau gaya, pendekatan, cara, kaedah dan sebagainya.


Ini penting kerana dengan memelihara uslub ini akan lebih menceriakan arena dakwah, kerana ia lebih memfokuskan kepada golongan sasaran, serta menentukan sama ada dakwah yang dijalankan itu benar-benar menepati acuan, kaedah atau sebaliknya matlamat jangka panjang dan pendek, ia bergantung kepada sejauhmana penerapan itu dibuat.


Menurut golongan para pendakwah atau daie, kejayaan atau keberkesanan dakwah yang dilakukan oleh pendakwah, ada kaitan dengan pengamalan seseorang pendakwah yang tersirat dalam ciri-ciri yang disebutkan sebelum ini.


Antara lain :

ketaatan kepada pemimpin, menjaga kerahsiaan, memperkasa diri dengan amalan-amalan Islam seperti memberi perhatian kepada pengukuhan ilmu-ilmu alat, membudayakan pembacaan al-Quran, memastikan isteri dan anak perempuan menutup aurat, mewajibkan perkara sunat untuk diri sendiri, tidak melaga-lagakan pemimpin, menjaga solat berjemaah, memimpin pertubuhan, mampu kendali majlis keramaian atau usrah, menepati janji dan tidak merokok.


Pada masa yang sama juga, pendakwah khususnya di kalangan pendakwah muda Islam meletakkan perkara-perkara berikut sebagai asas kepada uslub dakwah:


1. Berhikmah: iaitu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, ia disaring daripada firman Allah SWT menerusi ayat 125 urah an-Nahl yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."
Hikmah yang dimaksudkan dalam ayat di atas mengandungi pelbagai tujuan yang boleh diselaraskan kepada uslub dakwah, antaranya:


a) Menghormati kotak pemikiran golongan sasaran, maknanya pendakwah perlu melihat tahap mentaliti mereka sebelum menyampaikan sesuatu idea, ditakuti jika tidak sampai apa yang diutarakan, berkemungkinan besar akan menjadi sia-sia, kerana baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa: "Bercakaplah kepada orang ramai menurut tahap cara berfikir mereka."


b) Menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dengan mengelak bahasa bunga yang merumitkan golongan sasaran atau menggunakan bahasa secara berterus-terang hingga dapat digarap dengan mudah.


c) Memilih waktu yang sesuai untuk bercakap pada perkara berhubung Islam atau dakwah, ia disandarkan kepada satu peristiwa yang pernah terjadi pada Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi), di mana beliau sering bercakap tentang Islam pada setiap hari Khamis, salah seorang pendengar setianya bertnya, alangkah bagusnya jika engkau dapat bercakap tentang Islam setiap hari wahai Ibnu Mas'ud, beliau menjawab; aku tidak mahu berbuat demikian bimbang ia akan membosankan kamu semua, aku berbuat demikian sebagai meneladani apa yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ke atas kami. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


d) Mengehadkan masa ketika bercakap - iaitu pendakwah tidak meleret-leret ketika menyampaikan pandangannya tentang sesuatu topik, kerana boleh jadi yang mendengarnya seorang yang sakit, orang tua atau yang mempunyai keperluan lain, lebih-lebih lagi ketika menyampaikan khutbah para jemaah tidak boleh balik awal sebelum solat dilaksanakan dan sebagainya, Rasulullah s.a.w. bila berkhutbah menggunakan pendekatan yang sederhana dan segera agar tidak menyebabkan jemaah lama menunggu.


2. Nasihat yang baik: Iaitu satu nasihat atau peringatan yang boleh melunakkan hati-hati manusia yang keras dengan amalan ahli dunia yang lupakan akhirat khususnya pada hari ini, di mana ramai manusia yang lebih cenderung kepada aspek sukan dan hiburan keterlaluan hingga boleh meninggalkan tugas utama sebagai Muslim/Muslimah iaitu solat fardu lima waktu, begitu juga pendakwah adalah disaran untuk memperbanyak mengingatkan manusia tentang dosa, pahala, syurga, neraka, balasan baik dan buruk. Ia adalah bertujuan untuk mencairkan manusia.
Pendakwah atau daie perlu memelihara perkara berikut:
* Ringkas yang berkesan dan tidak menjemukan penyampaian.
* Menghimpunkan antara perkara baik dan buruk untuk difikirkan.
* Memperbanyakkan sebutan mengenai nikmat Allah ke atas manusia.
* Menyediakan jalan untuk menuju kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat.


3. Berbahas dengan cara yang baik: Berbahas adalah salah satu wasilah atau pendekatan dalam menyampaikan sesuatu hujah, adakalanya ia bersifat mulia dan pada ketika yang lain pula bersifat buruk, ia bergantung kepada sejauh mana cara berbahas tanpa mengikut aliran emosi, berbahas dengan cara mulia ada disebut dalam ayat di atas, surah an-Nahl 125 maksudnya: "Berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."
Ada pun berbahas yang cenderung kepada sifat tercela disebut Allah dalam surah al-Haj ayat 8 maksudnya: "Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."


4. Berbahas dengan cara yang mulia berdasarkan elemen terbaik yang digunakan oleh pendakwah, iaitu mengemukakan hujah mudah tetapi benar yang boleh membuka minda manusia seperti yang ditegaskan Allah mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s. yang berdialog dengan kaumnya, di mana kisah itu dipaparkan menerusi ayat 258 surah al-Baqarah maksudnya: "Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan," ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim."
Pendakwah boleh juga mengambil inisiatif dengan menggunakan pendekatan al-Quran bagi menguatkan hujahnya ketika berbahas atau berdialog dengan golongan sasaran, apatah lagi mereka yang agak degil dan keras kepala.


Ayat 35-37 surah at-Tur boleh dijadikan modal berdakwah, firman Allah maksudnya: "(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (35). Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (sudah tentu tidak!) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (36) Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?(37)"


Pendekatan dakwah melalui kisah teladan dalam al-Quran atau pada Sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya kisah-kisah benar yang dipaparkan dalam al-Quran sebenarnya mampu menarik minat golongan sasaran kepada Islam, kerana ia bukanlah kisah dongengan, tetapi kisah benar yang dikisahkan Allah Yang Maha Benar untuk menjadi bahan renungan, kesedaran dan membuka minda untuk berubah.


Sebagai contoh kisah yang dipaparkan melalui ayat 259 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Atau (tidakkah engkau rasa pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?" Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Dia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "(tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging" Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: "Sekarang aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."


Kesimpulan daripada ayat di atas, bahawa Allah SWT menganjurkan kepada manusia untuk melancong (bukan tujuan maksiat) bagi melihat kebesaran Allah SWT, penting untuk memikirkan pada bahan-bahan ciptaan Allah di muka bumi, menentukan aspek kematian dan kebangkitan yang pasti berlaku, penjelasan mengenai tempoh mati dan hidup tidak boleh dikiaskan dengan kehidupan di dunia, membuktikan kekuasaan Allah dalam melakukan apa sahaja walaupun tidak dapat diterima oleh akal fikiran manusia yang terbatas.


5. Menggunakan teknik soal jawab ketika berdakwah: Penggunaan teknik soal jawab dalam berdakwah, dianggap sebagai satu cara terbaik, kerana ia disandarkan kepada cerita dalam al-Quran, di mana Allah SWT bertanya kepada manusia dalam banyak yang bersifat soalan yang perlu dijawab oleh manusia, antara ayat-ayat berkenaan ialah:
* Ayat 1-3 surah al-Ma'un: "Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1). Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, (2) Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.(3)"
* Surah al-Fil: "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,(3) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, (4) Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.(5)"


6. Membawa contoh-contoh perumpamaan atau bidalan ketika berdakwah: Penguasaan tentang ayat-ayat al-Quran menjadi keutamaan kepada pendakwah, justeru mereka boleh menggunakan ayat-ayat bersifat perumpamaan seperti yang disebut oleh al-Quran menerusi ayat 261 surah al-Baqarah: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."


Kesimpulannya, apabila uslub dakwah yang disyorkan di atas dapat direnungi bersama oleh mereka yang bergelar pendakwah, khususnya yang menjadi anggota gerakan Islam, insya-Allah ia akan menjadi satu pendekatan yang mampu mencairkan manusia yang cemderung kepada kebenaran Islam. Selamat Mencuba.



Wednesday, June 17, 2009

Kem Harapan Sapura : Suatu Revisi semula.


Tahniah pertamanya kepada semua fasilitator, urusetia, dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam menjayakan program yang gilang gemilang ini. Ramai pihak memuji akan kejayaan program ini namun bagi kami, Exco Latihan & Penyelidikan bertanggungjawab untuk terus memastikan mutu tenaga kerja & kualiti program-program akan datang berada di tahap paling memuaskan. Setelah diteliti beberapa perkara perlu diambil perhatian.

S - Stength ( Kekuatan )
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia mempunyai ramai bakat-bakat muda yang mempunya kemahiran yang tersendiri di dalam bidang kefasilitatoran,kepimpinan, pengacaraan majlis, pengurusan majlis, pengisian kerohanian & pendekatan dakwah & islah yang menarik. Maka kami bercadang untuk menggunakan & memaksimumkan kekuatan ini melalu program-program serta kursus-kursus pemantapan yang akan di adakan dari semasa ke semasa. Kemampuan mencetuskan idea baru & kemampuan mengendalikan program di saat-saat akhir mampu menjadikan SPMM USIM suatu organisasi pada masa akan datang.

W - Weakness ( Kelemahan )
1. Kelemahan yang ketara ialah tenaga penggerak yang kurang daripada lelaki.
2. SPMM USIM terpaksa mengawal kuantiti yang peserta yang agak ramai
contohnya di dalam kegiatan riadah maka para fasilitator & urusetia tidak mempunyai fitness & kaedah yang terbaik untuk menghadapi situasi sebegini.
3. Tenaga penggerak ibarat paku & tukul, sekali diketuk baru bergerak. Maka disaran untuk lebih berinisiatif sendiri utk membuat sendiri.

O - Opportunities ( Peluang )
1. Sokongan padu daripada pelbagai pihak.
2. Barisan kepimpinan pelajar yang berkemahiran.
3. Sumber kewangan yang mencukupi

T - Threat ( Ancaman )
1. Sikap ''panas' semantara. Melihat kepada semangat yang membara sekarang, elok semangat ini terus dipanaskan supaya api perjuanagan SPMM sentiasa menjulang-julang.
2. Sikap berpuas hati. Diinasihatkan para penggerak SPMM USIM sentiasa memuhasabah diri & bertanya adakah cukup apa yang aku sumbangkan kepada ISLAM ?
3. Rakan-rakan SPMM USIM yang lain yang tertinggal. Mereka perlu disambut kembali agar ukhuwah anatara kita tidak putus sebegitu sahaja.

Semoga sedikit review spontan yang dibuat di atas dapat diambil perhatian semua pihak kerana manusia akan terus leka tanpa ada teguran & peringatan daripada semasa ke semasa.

EXCO LATIHAN & PENYELIDKAN SEKRETARIAT PENDAKWAH MUDA MALAYSIA
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA ( USIM )

Wednesday, June 3, 2009

Pendakwah Muda yang ''dituakan''


Menyoroti beberapa bulan yang lalu, kita mula melihat beberapa kejayaan manis yang dilakar oleh Sekeretariat Pendakwah Muda M'sia (SPMM USIM). Bertitik tolak daripada progarm Demonstrasi Palestin yang berjaya menyentuh perasaan & mengetuk pemikiran mahasiswa/i & para staff USIM mengenai SPMM USIM. Namun itu hanya igauan sementara kerana selepas itu semangat itu mulai berkubur.

Biro Penyelidikan & Latihan melihat perkara di atas berpunca daripada semangat kerja bermusim yang menyelubungi para ahli SPMM itu sendiri. Sikap hanya menantikan program yang telah diluluskan oleh Penyelaras SPMM sendiri untuk dilaksanakan. Lebih terang boleh dikatakan tiada inisiatif untuk ''proaktif'' membina program sendiri. Tidak dinafikan bahawa banyak kertas kerja telah dihantar & walaupun hanya sebilangan yang diluluskan & kebanyakannya ditolak namun perlu dibina atas semangat untuk terus tidak berputus asa untuk membaiki di bahagian mana yang tidak dipersetujui.

Faktor seterusnya ialah kepimpinan generasi Muda SPMM tidak berminat untuk bergiat aktif. Terus terang dikatakan SPMM bukanlah organisasi yang serupa dengan badan pelajar, persatuan & lain-lain perwakilan yang di dalamnya sentiasa di bawah pemantauan pensyarah tertentu. Figura-figura yang menjadi perwakilan pelajar SPMM USIM adalah daripada qudwah para pelajar itu sendiri. Exco Latihan & Penyelidikan menyeru terutama daripada generasi kedua SPMM USIM yang telah menjalani kursus perkaderan baru-baru ini bersedia untuk menyambung perjuangan selepas ini.

Pendakwah Muda USIM tidak digentarkan dengan situasi di kampus-kampus lain yang berhadapan dengan non-muslim. Kita tahu dalam konteks pelbagai agama masing-masing mempunya kaedah tersendiri untuk menyebarkan dakyah & ideologi masing-masing. Maka para Pendakwah Muda USIM perlu sedar kondisi selesa di USIM yang tidak sama di kampus-kampus lain ialah peluang terbaik untuk kita membentuk sahsiah & pemikiran para pendakwah yang mahsyur seperti sahabat nabi Mus'ab Ibn Umair, pakar perbandinag agam Dr. Ahmad Deeda, Harun Yahya, Bro Shahkirit & banyak lagi yang mereka ini memerlukan legasi untuk meneruskan kerja-kerja dakwah.

Sekali lagi diharapkan para pendakwah Muda USIM tidak ''dituakan'' dengan suasana semasa, cetuskan pemikiran-pemikiran yang boleh merubah suasana dakwah di USIM dengan menyalurkan kepada para AJK SPMM USIM yang ada.
'' Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah nasibnya sendiri.''

'' Kalau bukan hari ini bila lagi, kalau bukan kita siapa lagi?.''

Exco Penyelidikan & Latihan Sekretariat Pendakwah Muda M'sia
Univerisiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, N. Sembilan.

Sunday, April 19, 2009

Mari Sama-sama Menimba Ilmu di Masjid BBNN9!



Ha, sempena musim peperiksaan ni kalau rasa dah penat belajar sepanjang hari untuk peperiksaan apa kata kita lapangkan masa di antara waktu maghrib-isyak untuk ke Masjid Bandar Baru Nilai untuk menimba ilmu & mencari ketenangan melalui majlis-majlis ilmu yang dianjurkan. Ingat, antara Taman-taman syurga ialah tempat pengajian ilmu so lembut2kan hati kita untuk duduk sebentar di dalam majlis ilmu sebegini, kalo ilmu dunia kita boleh cemerlang apa kata kita gemilangkan diri kita untuk mengaut ilmu-ilmu berkaitan agama untuk bekalan ukhrawi pula ! Jom para pendakwah muda USIM !

Jadual Pengajian Kitab di Masjid Putra Bandar Baru Nilai, N9


Masa: Antara Maghrib dan Isyak


Isnin: Kitab: Al-Jauhur Al-Mauhub Wa Munabbihatil Qulub

Pengarang: Sheikh Ali Abdul Rahman Al-Kelantani


Selasa: Kitab: Riyadus Solihin


Rabu: Kitab: Salam Mubtadi Fi Makrifah Thoriqah Al-Muhtadi ( Minggu 1 & 3 )

Pengarang: Sheikh Abdullah Al-Fathoni


Kitab: Al-Misbah Al-Munir Fi Makrifah Allah Al-Qadir ( Minggu 2 & 4 )

Pengarang: Abdul Aziz Ismail Al-Fathoni


Khamis: Bacaan Yasin ( Minggu 2 & 4 )

Kitab: Mafahim Yajibu An Tusohhah ( Minggu 1 & 3 )

Pengarang: Al-Allamah Al-Muhaddith Prof. Dr Sayyid Muhammad Ibn Alawi Al-Maliki Al-Makki Al-Hasani


Jumaat: Kitab: Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi

Pengarang: Al-Sheikh Al-Hafiz Abu Al-Fadl Abdullah Al-Siddiq Al-Ghumari


Sabtu: Kitab: Soal Jawab A-Z tentang TASAWUF ( Minggu 4 )

Pengarang: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Kuliyah Subuh Setiap Minggu 1 & 3


Ahad: Kitab: Tafsir Al-Quran