Monday, July 6, 2009

Pendakwah Mesti minat kepada manusia

Pendakwah Berminat Dengan Manusia


Good morning Mr. Adidas!” sapa budak itu.

Good morning Tony,” saya membalas dengan senyuman.

Are you going to work?” beliau bertanya lagi.

Indeed. And you, to school?” saya menjawab dan menambah ramah mulut dengan soalan untuknya.

Yes, I am,” balasnya.

Namanya Tony. Beliau berketurunan Vietnam. Baru berusia enam tahun dan tinggal di kawasan sekitar Westbound Grove. Setiap hari, saya akan berselisih dengannya kerana kami menaiki bas yang sama. Saya bertolak dengan double decker merah nombor 7 dari Ladbroke Grove menuju Edgware Road. Beliau pula bersama emaknya akan menaiki bas yang sama di Westbound Grove.

Apa yang sering mengingatkan saya kepada Tony ialah, beliau merupakan satu-satunya ‘penduduk tempatan’ yang sempat saya kenali selama lebih setahun bermastautin di Kotaraya London. Anak kecil itulah yang tanpa segan silu menegur saya, dan emaknya yang di sisi hanya senyum melihat perbualan harian saya dengannya.

Saya di Kota London, hanyalah seorang pencuci pinggan.

Sesekali berkhutbah Jumaat di Masjid Malaysia Hall di Bryanstone Square.

Saya tidak berupaya untuk berhubung dengan sesiapa dari kalangan penduduk tempatan kerana komuniti kota London amat rencam dengan 1001 bangsa dan kaum yang menghuninya. Malah, sebahagian komuniti bukan Inggeris memilih untuk hidup secara berkelompok dan jangan terkejut jika ada orang Bangladesh yang sudah 20 tahun menghuni East London, tetapi tidak berbahasa Inggeris.

East End itu ialah mini Bangladesh!


BERBEZA DI IRELAND

Tetapi pengalaman saya berbeza selepas berpindah ke Ireland Utara.

Masyarakat Irish di sana lebih menghargai pengalaman berinteraksi dengan orang asing. Keramahan semulajadi mereka memberikan ruang yang lebih untuk orang asing seperti saya berinteraksi.

Good morning, son!” sapa seorang makcik tua di perhentian bas.

Teguran-teguran ramah mesra seperti ini adalah perkara biasa di Ireland. Malah ada kalanya saya merasakan seolah-olah orang Irish ini banyak berkongsi sifatnya dengan orang Melayu. Selain kerap terlewat ala-ala ‘janji Melayu’, kaum perempuan juga ada tabiat bersembang di pagar-pagar rumah, bergosip tentang kisah terkini di dalam drama Coronation Street atau Eastenders.


FRANK MCCOURT

Mungkin inilah sebab mengapa saya jatuh hati dengan karya-karya Frank McCourt.

Beliau bukanlah seorang ahli sastera atau tokoh budaya. Namun novel-novelnya amat melumatkan hati saya membacanya. Ketawanya membuat saya ketawa, sedihnya membuatkan saya berduka. Amat beremosi. Saya menyukai karya Frank McCourt kerana ia mengingatkan saya tentang Ireland.

Mengubat rindu saya dengan selembar perjalanan hidup selama bermastautin di sana.

Mungkin tidak ramai dari kalangan pembaca yang mengenali Frank McCourt, jauh sekali untuk meminatinya. Malah tujuan saya melakarkan catatan ini bukanlah untuk mengajak pembaca menanam minat kepada Frank McCourt dan buku-buku karangannya. Namun saya memilih untuk meluahkan isi hati saya tentang buku beliau, TEACHER MAN, lantaran kerinduan saya kepada Ireland!

Saya mengenali Frank McCourt melalui novel pertama beliau ANGELA’S ASHES iaitu semasa saya tinggal di Belfast. Tidak lama selepas buku pertamanya diterbitkan, novel tersebut telah difilemkan dan ia menjadi filem yang popular. Semenjak membaca novel pertamanya, saya jatuh hati dengan karangan-karangan Frank McCourt.


Sejurus sebelum saya pulang ke Malaysia pada tahun 2004, Frank McCourt menghasilkan pula bukunya yang kedua, iaitu ‘TIS: A MEMOIR. Dan selepas itu, saya berpeluang untuk menyambung kembara saya bersama Frank McCourt melalui novelnya yang ketiga, Teacher Man.

Apakah yang menarik tentang novel-novel McCourt?


Saya mula menghargai budaya Irish, semasa saya belajar mengulas filem Into The West , iaitu suatu filem Irish yang menceritakan tentang kembara dua kanak-kanak mencari ‘roh’ ibu mereka. Ia adalah cerita yang boleh membantu kita mendalami watak dan cara hidup golongan Travellers, iaitu ‘badwi Irish’ yang hidupnya berpindah randah, dan sering dikaitkan dengan jenayah serta dipandang rendah oleh penduduk ‘tetap’. Filem ini menjadi silibus di dalam kelas persediaan saya semasa mengambil ujian IELTS di The Queen’s University of Belfast.


Berbalik kepada novel-novel Frank McCourt, daya tarikan utama karyanya mungkin terletak kepada kejujuran beliau dan sifatnya yang bersahaja di dalam penceritaan itu. Asalnya Frank McCourt yang kini telah bersara daripada profesyen perguruan Bahasa Inggerisnya di New York, menulis novel Angela’s Ashes hanya dengan tujuan untuk mengabadikan penderitaan hidupnya sebagai kanak-kanak Katholik di Ireland, untuk dibaca dan dikenang oleh anak cucunya. Tanpa dijangka, novel itu ‘meletup’ terutamanya selepas ia difilemkan dengan sebaris pelakon handalan seperti Alan Parker dan Emily Watson.

Adik-beradiknya mati kerana kekurangan makanan, ayahnya penyayang tetapi kaki arak, ibu pula gigih membesarkan anak-anak dengan seribu penderitaan, diabadikan di dalam gaya bahasa bersahaja yang boleh menjadikan saya tersangkut dua tiga hari dengan novel itu, semata-mata untuk mengetahui kesudahan cerita.


Paling menyedihkan, semasa Frank McCourt melihat kelibat ayahnya yang pergi meninggalkan kampung halaman untuk ke England, mencari kerja untuk mengubah keadaan diri dan keluarga. McCourt sedih kerana dia mahu menjerit “I love you, dad” kepada ayahnya, tetapi takut ditertawakan oleh jiran. Masyarakat Ireland di masa itu mungkin banyak persamaan dengan satu sifat masyarakat Melayu yang malu untuk menunjukkan perasaan, menyatakan kasih dan sayang. Malah kekadang bapa menunjukkan kasihnya dengan menyiku kepala anak-anak sehingga benjol.

Novel ‘Tis pula menceritakan tentang perjalanan McCourt ke Amerika untuk belajar. Dengan seribu kemiskinan tetapi berbekalkan azam yang tinggi, Frankie berjaya menempatkan dirinya di Universiti walaupun tidak bersekolah. Di situlah akhirnya McCourt berjaya menjadi guru di sekolah menengah di New York. Sukarnya untuk dia mengajar pelajar di sekolah itu, kerana dia sendiri tidak pernah bersekolah. Selepas berjaya mengumpulkan duit, beliau pulang ke Ireland untuk mencari adik beradik dan ahli keluarganya. Di situlah pada saya, novel Angela’s Ashes berakhir, iaitu selepas ibunya meninggal dunia dan sisa-sisa deritanya membesarkan anak-anak, hanyut bersama debu mayat ibu Frankie, Angela.

Novel ketiga Frank McCourt, Teacher Man, telah saya selesaikan kembaranya.

Ia adalah coretan pengalaman beliau mengajar dan sememangnya penuh dengan kelucuan bersulam kesedihan. Hari pertamanya di sekolah, beliau gagal menarik perhatian anak-anak murid, dan terpaku melihat mereka bergaduh di dalam kelas. Apabila seorang pelajar mencampakkan sandwich ke lantai, Frank McCourt secara spontan mengutipnya di lantai dan memakan sandwich tersebut. Tergamam sungguh semua pelajarnya.


Frank McCourt dimarahi oleh Pengetua kerana makan di dalam kelas, tetapi dia sendiri tidak pasti mengapa dia secara spontan menjamah sandwich tersebut. Mungkin kerana hidupnya yang lapar semenjak lahir, hari itu dia tersentuh melihat sandwich terbuang ke lantai, oleh anak-anak Amerika yang hidupnya serba cukup tetapi masih kurang ajar kepada ibu bapa. Semenjak itu, Frank McCourt menjadi guru favourite di sekolah tersebut.


Di celah-celah tulisan Frank McCourt, memang ada bahasa yang kesat, ada kelakuan yang buruk. Jauh sekalilah jika mahu dibandingkan dengan Ayat-ayat Cinta dan Bila Cinta Bertasbih.

Namun sebagai Muslim, saya membacanya dengan tapisan nilai diri sebagai Muslim. Saya membacanya bukanlah kerana saya mahu membudayakan diri atau pembaca dengan budaya negatif itu. Tetapi saya membacanya semata-mata kerana satu sebab.

Saya berminat dengan manusia.


BERMINAT DENGAN MANUSIA

Saya suka menelaah kelakuan manusia, mengkaji kecenderungan yang mencorakkan kehidupan manusia malah meyakini bahawa warna-warna alam sekitar hari ini adalah terjemahan kepada kemanusiaan manusia.


Berminat dengan manusia, adalah pra syarat seorang pendakwah.

Pendakwah perlu sedar bahawa tugasnya adalah untuk menterjemahkan kehendak titah Pencipta manusia untuk ditempa ke atas manusia ciptaan Dia. Pendakwah harus kenal Allah dan kenal manusia.


Mesejnya mesti Rabbani, pendekatannya mesti manusiawi.


Apabila pendakwah tidak menjaga kemanusiaan manusia, dia telah melanggar sehimpun sunnatullah aturan-Nya.

Justeru untuk menyampaikan dakwah yang manusiawi, pendakwah mestilah berminat dengan manusia…


Kredit kepada Ust.Hasrizal Jamil, artikel ini dipetik daripada saifulislam.com

No comments:

Post a Comment