Friday, February 27, 2009

Berjayakah Amerika dan Zionis diboikot?

SEWAJARNYA kerana Palestin kita sanggup melakukan apa sahaja kerna mereka adalah saudara kita, hatta mengangkat senjata bagi beradu jantan dengan pihak Israel kerana telah terang-terangan memerangi Islam. Tidak ada rasionalnya di sebalik perbuatan hampir 60 tahun mereka mencabuli kedaulatan dan hak-hak kemanusiaan penduduk Islam.

Justeru itu, sebagai pengguna, kempen memboikot produk dan perkhidmatan daripada sekutu rapat Yahudi terutamanya Amerika Syarikat (AS) sewajarnya boleh dijayakan dengan lebih mudah dan tanpa banyak masalah kerana risikonya lebih rendah dan tidak menjadi satu kesalahan.

Semenjak kempen boikot dilancarkan secara besar-besaran, banyak maklum balas positif yang diterima, tidak kurang juga yang sebaliknya. Ternyata masih ada juga yang masih ragu-ragu dalam menjayakan kempen boikot. Hal ini menimbulkan persoalan di hati. Mengapa tindakan seperti ini hendak diragukan? Tidak dapat dinafikan, sedikit sebanyak boikot seperti ini telah terbukti tidak mustahil kerana telah ada pihak yang terkesan dengan tindakan seperti ini sebelum ini.

Jenama makanan segera yang terkenal dengan kepelbagaian jenis burger, syarikat XXX terpaksa menutup operasi mereka di kebanyakan negara di Asia Tengah pada tahun 2002 kerana kerugian akibat kesan secara langsung daripada usaha boikot.
Di Jordan sahaja, dua daripada enam francais makanan segera ini terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Di salah sebuah negara di Asia Barat, syarikat XXX itu terpaksa menukar jenama mereka kepada Manfoods sebagai usaha untuk mengelirukan pelanggan.

Namun usaha ini tidak berjaya dilakukan dan ini menyebabkan pihak berkuasa negara itu terpaksa diarahkan mengawal rangkaian restoran XXX akibat tindakan masyarakat yang membaling batu ke arah restoran berkenaan.

Hal ini semuanya disebabkan, pemimpin utama syarikat itu, tidak sahaja lahir sebagai Yahudi, tetapi beliau juga merupakan Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry yang menjadikan syarikat yang diterajuinya itu "rakan korporat utama" kepada Jewish United Fund (JUF).

JUF pula telah menggelarkan diri mereka sebagai bekerja untuk ketenteraan Amerika, sokongan ekonomi dan diplomatik kepada Israel serta memerhati dan sekiranya perlu, memberi respons kepada laporan media.

Sekiranya syarikat gergasi seperti XXX boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, insyaAllah, tidak mustahil syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel, akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.
Dalam kes memboikot ini juga, Amazon.com, iaitu perniagaan menjual buku dan produk berkaitan melalui Internet, telah menghentikan kerjasama dengan Jerusalem Post pada bulan November 2002. Hal ini disebabkan Jerusalem Post telah menyumbang sebahagian daripada keuntungan hasil kerjasama dengan Amazon.com kepada tentera Israel yang pulang daripada tugasan mereka di daerah Palestin. Ketika itu iklan-iklan Amazon.com yang berbunyi "Buy Amazon.com & Support Israel " dipaparkan dalam hampir setiap muka surat Jerusalem Post. Amazon akhirnya dikatakan memberhentikan kerjasama tersebut akibat desakan pelanggan yang prihatin.

Beberapa syarikat di AS yang tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin, turut membuat keputusan untuk memboikot Israel . Pada bulan Mei 2002, Texas Automotive Export, iaitu sebuah syarikat di AS yang mengeksport peralatan kereta telah memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan mereka dengan Israel .

Kejayaan dan sambutan boikot memang membimbangkan AS dan Israel, sehinggakan AS mengancam untuk mengenakan denda terhadap syarikat yang terlibat dengan boikot ini. Jabatan Perdagangan AS telah mengenakan lebih daripada AS$26 juta denda serta tidak lagi mengeluarkan lesen eksport kepada syarikat yang terlibat.

Kita seharusnya mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina ekonomi sendiri, bukan kehilangan punca ekonomi. Benar, banyak dari syarikat perniagaan yang terlibat dalam senarai boikot menjalankan perniagaan mereka di negara-negara Islam, justeru mereka memberi pekerjaan kepada masyarakat Islam dan membantu ekonomi negara Islam. Tetapi kita seharusnya belajar daripada peristiwa-peristiwa pembangunan ekonomi dunia, yang mana keruntuhan sesebuah entiti perniagaan selalunya membuka peluang kepada entiti yang lain.


Sebagai contoh, Coca-Cola yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60% akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran, ZamZam Cola sehinggakan mereka tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran Coca-Cola. Malahan, mereka berjaya menjual sebayak 4milion tin minuman dalam minggu pertama, suatu yang tidak sekali-kali dijangka. Sekarang? ZamZam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara Teluk, sekaligus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Dan buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark, mula mengimpot ZamZam Cola.

Senario sama berlaku di Mesir pada tahun 2001, yang mana penutupan syarikat Sainsbury telah berjaya meningkatkan perniagaan milik tempatan yang tidak mungkin mampu bertahan dengan dominasi pasaran syarikat-syarikat besar dari luar.

Tidak dinafikan, sesetengah barangan boikot bukanlah mudah untuk diboikot contohnya barangan tenusu. Namun yang penting, paling kurang kita cuba. Selagi termampu, selagi terdaya cubalah boikot sebaik mungkin. Tidak ada salahnya kita mencuba produk alternatif, contohnya Radix Fried Chicken atau mana-mana restoran Mamak Muslim berdekatan. Tidak rugi kita meninggalkan minuman Coca-Cola dengan memilih alternatif produk tempatan yang diusahakan oleh orang Islam seperti Radix Cola. Apakah salahnya kita beralih daripada mengunjungi Pasaraya Tesco kepada Pasaraya Mydin?

Harus diingat, syarikat-syarikat besar dari luar yang beroperasi di negara-negara Islam tidaklah membawa manfaat ekonomi kepada kita melainkan eksploitasi terhadap kelemahan kita. Lihatlah bagaimana Delta Galil, sebuah syarikat membuat pakaian yang dipasarkan dengan jenama GAP,Banana Republic, Calvin Klien, BOSS, M&S, DKNY dan berbagai lagi. Syarikat ini membina kilang-kilang di Jordan, Mesir dan juga Palestin. Sikap mereka yang hanya mengeksploitasi pekerja tempatan begitu teruk sekali, sehinggakan Sweatshop Watch (www.sweatshopwatch.org) melabelkan mereka sebagai “Sweatshop Czar.” Adakah merugikan kita jika syarikat-syarikat seperti ini mengangkat kaki meninggalkan tanah air kita yang subur dan bertuah ini?

Pensyarah Kanan di Bidang Kemanusiaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Dr. Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, tidak dinafikan boikot merupakan salah satu kaedah untuk mengajar pihak Zionis itu, cuma umat Islam harus bersatu dan senada dalam memboikot barangan mereka secara berterusan bukan secara bermusim.
"Ini kerana usaha yang telah dilakukan sejak dulu lagi, ibarat melepaskan batuk di tangga sahaja. Yang menariknya bila ramai orang hendak memboikot, masyarakat pun beria-ia hendak memboikot juga, tapi malangnya produk rokok pelbagai jenama dari AS seperti tercicir ataupun sengaja dicicirkan daripada senarai pemboikotan tersebut," katanya.

Menurut Dr. Zaharuddin lagi, pengharaman berurusniaga atau memboikot melalui fatwa adalah satu cara bagi memastikan usaha ini dapat dijayakan sebagaimana Iran mengeluarkan fatwa diketuai Ayatollah Ali Khamenei yang mengharamkan terus segala urusan perniagaan yang berkaitan dengan Israel.

"Kalau sebelum ini Majlis Fatwa Kebangsaan menimbulkan isu pengharaman Yoga, kenapa tidak untuk pengharaman barangan dari negara Zionis yang secara terang dan nyata melakukan kekejaman yang bertentangan dengan ajaran semua agama," katanya.

Usaha memboikot barangan Israel dan sekutunya kata Dr. Zaharuddin boleh dianggap sebagai satu jihad di jalan Allah. "Usaha memboikot barangan mereka ini adalah lebih baik berbanding daripada sumpah seranah serta memaki hamun mereka," katanya.

Beliau tidak menafikan antara kekangan bagi menjayakan boikot ini, sikap kaum-kaum lain, yang bertindak sepi atau tidak mengambil peduli dengan beranggapan, isu ini hanya melibatkan masyarakat Islam.

Dr. Zaharuddin turut menyenaraikan beberapa kekangan atau kelemahan utama dalam kempen pemboikotan produk Israel dan sekutunya, iaitu;
• Kekurangan hasil tempatan yang produktif, berkualiti dan berdaya saing di peringkat tempatan mahupun global.
• Persepsi pengguna terhadap barangan keluaran tempatan terutamanya barangan bumiputera yang agak dingin.
• Sistem pemasaran dan pengiklanan yang tidak cekap terutama daripada pengusaha bumiputera.

Namun beliau lebih menggesa individu serta pertubuhan yang ingin memboikot produk Israel dan sekutunya supaya menoleh seketika sejarah, terutamanya apa yang pernah dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

"Bahkan ketika Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, Baginda tidak pernah melakukan pemboikotan ekonomi kepada Yahudi yang menguasai pasar di Madinah tetapi Baginda memecahkan monopoli Yahudi dengan mengajak para sahabatnya ikut serta dalam perniagaan sehinggakan ekonomi Madinah dikuasai sepenuhnya oleh kaum Muslimin," katanya.

Dr. Zaharuddin meminta supaya produk tempatan harus dipertingkatkan kualiti serta berdaya saing, bukan sahaja dari segi mutu, malah dari segi harga.
"Maka inilah kaedah terbaik dalam melaksanakan embargo serta menghancurkan ekonomi Zionis, bukan sekadar mengangkat sepanduk menyeru pemboikotan produk keluaran Israel dan sekutunya.

"Konsep muamalah itu sebenarnya wujud tanpa paksaan. Cuma kita harus bertukar kempen, dari kempen memboikot ke kempen membeli… Belilah Barangan Buatan Muslim!" katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Noor Nirwandy Mat Noordin berkata kempen boikot ini telah berjaya membuktikan masyarakat pengguna (Islam khususnya) di negara ini berupaya melakukannya bagi membantah tindakan kejam Israel. “Kempen boikot terpilih produk Yahudi ini telah membuka dimensi baru kepada mentaliti masyarakat pengguna Islam berhubung kuasa pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, wajarlah semangat memboikot ini diteruskan. Tidak sepatutnya ia dilaksanakan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Marilah kita beralih kepada barangan alternatif terutamanya BARANGAN BUATAN MUSLIM. Ambillah peluang ini untuk membina ekonomi umat Islam.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Sunday, February 22, 2009

Manusia Bangkit Dari Kubur Dalam 12 Barisan

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r. a menghadap Rasullullah s. a. w dan bertanya: "Wahai Rsullullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah s. a. w: "Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datamg berbaris-baris" -(Surah an-Naba':18) Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis hingga basah pakaiannya. Lalu Baginda menjawab:





"Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri.... Maka dinyatakan apakah 12 barisan berkenanaan iaitu:





BARISAN PERTAMA Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: " Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jirannya, maka in balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."





BARISAN KEDUA Diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah yang maha pengasih: "Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembalinya adalah neraka..."





BARISAN KETIGA Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Meraka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."





BARISAN KEEMPAT Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka ini adalah orang yang berdusta didalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka.."





BARISAN KELIMA Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah s. a. w menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Masyar. "Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah s. a. w, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."





BARISAN KEENAM Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."





BARISAN KETUJUH Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."




BARISAN KELAPAN Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala kebawah dan kaki keatas. " Meraka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."





BARISAN KESEMBILAN Diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. " Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."





BARISAN KESEPULUH Diiringi dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."





BARISAN KESEBELAS Diiringi dari kubur mereka dengan berkeadaan buta, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai kedada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai keperut dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."






BARISAN KEDUA BELAS Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik. Meraka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah yang maha pengasih..."





Maka, sahabat sekalian.. renung-renungkanlah... Di barisan manakah kita akan berbaris nanti? Semoga artikel ini dapat memberi peringatan kepada semua… Waalahualam…..







Dapatkan Mesej Bergambar di Sini













Saturday, February 14, 2009

Antara Hukum dan Cinta



CINTA..

merupakan perasaan fitrah yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita. Cinta sesama manusia adalah fitrah yang Allah jadikan sejak penciptaan Nabi Adam a.s. dimana Allah swt menghadirkan Siti Hawa di sisi Nabi Adam a.s sebagai peneman suka dan duka. Walaupun disingkirkan dari syurga, dan dipisahkn di dunia, cinta mereka tetap utuh dan mereka sangat setia antara satu dengan yang lain. Percintaan Zulaikha dan Nabi Yusuf a.s. Setelah bertahun-tahun mencintai Yusuf, akhirnya Zulaikha menemui cinta yang sebenar-benarnya. Walaupun Yusuf a.s menjadi miliknya, namun cinta al-Khaliq memenuhi ruang hatinya. Cinta mereka bukanlah cinta berlandaskan nafsu semata-mata. Malah, disertakan keimanan kepada Allah swt.

Namun begitu, jika dilihat percintaan zaman sekarang, kebanyakan muda-mudi tidak meletakkan Allah swt sebagai matlamat yang utama. Mereka sanggup mengabaikan apa yang di tuntut oleh syara' untuk memuaskan nafsu mereka. Tidak salah untuk bercinta. Islam juga menyokong couple atau bahasa Melayunya berpasangan. Tapi, ada syarat untuk ber"couple" dalam Islam. Syaratnya ialah perlu melalui fasa pernikahan dahulu. Maka Islam menghalalkan hubungan ber"couple" yang terbina. Alangkah indahnya menikmati percintaan di jalan yang halal dan diredhai Allah swt. Hati merasa lebih tenang, malah tidak perlu bimbang tentang fitnah dan zina.


Kedatangan Hari Valentine, menyemarakkan lagi kehangatan percintaan generasi muda zaman ini. Hari tersebut dianggap perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai atau dikasihi. Adakah mereka benar-benar mengetahui apakah Hari Valentine?

Sebenarnya, Valentine’s Day mempunyai hubungan yang rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran Kristian. Terdapat beberapa pendapat mengenai asal-usul Valentine’s Day :
i. Valentine’s Day bermula semasapemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas
itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

ii. Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan
sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

iii. Pendapat ketiga mengatakan Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.
Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Valentine adalah sempena hari kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol. Paderi St. Valentino telah mengumumkan hari tersebut sebagai hari kasih sayang kerana padanya Islam adalah ZALIM! Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine.

Islam adalah satu agama yang suci dan kita sekali-kali tidak boleh mencampur adukkan aqidah kita dengan peribdatan agama lain. Allah swt berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (surah al-kafirun: 1-6)

Malah, Islam melarang umatnya meniru umat lain dalam mengamalkan gaya hidup, cara penampilan, perwatakan dan sebagainya ang bertentangan dengan syara'.

Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. :
Bermaksud : “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah juga berfirman lagi di dalam Al-Quran:
"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya)." Dan jika engkau mengikuti keinginan merekasetelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah." (surah al-baqarah: 120)

Renungkanlah ayat di atas. Adakah kita masih lagi mahu tunduk dan mengikuti agama dan budaya kaum Yahudi dan Nasrani ini? Sesungguhnya, budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat. Di samping itu juga, ia merupakan hari kejatuhan Islam di Sepanyol. Oleh itu, fikir-fikirkanlah bersama-sama. Adakah patut kita meraikannya?




sumber: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1397, Artikel Isu dan permasalahan semasa yang dijawab oleh Ustazah Norzila Bt Mohd Nor.


Friday, February 13, 2009

Program Bulan Dakwah kembali

PUTRAJAYA: Program Bulan Dakwah peringkat kebangsaan yang tidak diadakan hampir 31 tahun, dianjurkan kembali bagi meningkatkan kegiatan dakwah secara bersepadu di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, bulan dakwah yang dianjurkan tahun ini adalah kesinambungan program sama yang pernah dilaksanakan pada 1978.

"Walaupun program itu tidak dapat dijadikan program tahunan, impak yang diperoleh amat positif. Atas kesedaran memperjelaskan lagi fungsi, peranan dan praktikal dakwah, program ini dikembalikan semula ke pangkuan masyarakat," katanya pada majlis prapelancaran Bulan Dakwah peringkat kebangsaan 2009 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mencadangkan supaya program Bulan Dakwah dilaksanakan semula tahun ini dan kerajaan kemudiannya melantik Yadim sebagai sekretariat induk peringkat kebangsaan manakala Jabatan Agama Islam Negeri sebagai sekretariat negeri untuk melaksanakan program selama sebulan bermula Ahad ini hingga 31 Mac depan.

Katanya, dakwah bukan hanya dalam bentuk ceramah, syarahan dan forum yang dianjurkan di masjid dan surau.

Malah katanya, gambaran ustaz dan ustazah, tok lebai dan tok guru saja dipikulkan dengan tanggungjawab itu masih berlegar dalam pemikiran masyarakat sedangkan amanah dakwah tergalas di bahu seluruh umat.

"Oleh itu, kita mahu mengubah mentaliti masyarakat Islam terhadap pendekatan "dakwah bil hal" iaitu dengan kaedah teori dan praktikal yang lebih mudah difahami dan diterima masyarakat," katanya.

Sumber :
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20090213002751/Article/index_html

Tuesday, February 10, 2009






salam ukhuwah..
saban hari kita melihat di kaca televisyen, kita dengar dari corong-corong radio keganasan, kekejaman Zionis dan konco-konconya di bumi Palestin.. mereka mengebom rumah ibadat, membunuh wanita, kanak-kanak dan orang tua sesuka hati tanpa rasa belas kasihan.. mereka menggunakan taktik kotor demi melenyapkan bangsa Palestin di tanah tumpah darah mereka sendiri.. seperti yang kita tahu, umat Islam keseluruhannya mengecam tindakan kebinatangan Zionis tersebut.. Ada segelintir pihak yang hanya mengalirkan air mata di hadapan kaca televisyen, mengutuk, memaki hamun zionis dan konco-konconya.. Ada pula yang teriak dengan penuh semangat dalam demonstrasi-demonstrasi menentang Yahudi.. ada pula pihak yang menyuarakan supaya kita memboikot barangan mereka... adakah cara-cara ini benar-benar berkesan duhai saudaraku??







namun, apakan daya.. hanya dengan cara itu sahaja kita dapat melahirkan rasa marah, benci yang teramat sangat kepada bangsa penceroboh itu! ketahuilah sahabat, sesungguhnya Yahudi di bumi Palestin tidak berganjak walau sedikit pun! sesungguhnya tak bergegar langsung bangunan Rumah Putih di Washington! Tidak goyah langsung semangat mereka untuk membunuh saudara-saudara kita di sana.. malah, makin rancak permainan peluru, butiran-butiran bom gugur mengenai tubuh saudara seIslam kita di sana.. Mereka seolah-olah buta, pekak dan tuli dengan lahar-lahar kemarahan umat Islam! Walaupun begitu saudaraku, sesungguhnya masih ada lagi cara yang benar-benar boleh melumpuhkan mereka.. Mereka sangat benci sekiranya kita menggunakan cara ini.. Renungkanlah surah Al-Baqarah, ayat 120:

"sekali-kali Yahudi dan Nasrani itu tidak akan redha selagi kamu tidak mengikut agama(cara hidup) mereka."

Jika kita hayati maksud ayat di atas, maka dapat kita fahami bahawa mereka sangat benci sekiranya umat Islam dapat mengamalkan cara hidup Islam dengan sebenar-benarnya.. inilah cara yang paling memedihkan hati mereka.. kita wajib memboikot cara hidup mereka! buang jauh2 amalan hedonisme(berseronok yang keterlaluan): elakkan diri anda drpd bersubahat dengan program realiti TV yang menjurus ke arah maksiat, minum arak, berjudi, pergaulan bebas, riba, dadah, berpasang-pasangan dengan bukan muhrim, tidak menutup aurat dengan sempurna dan semua perkara-perkara yang bertentangan dengan syara'..

oleh itu, marilah sahabat-sahabatku, saya menyeru pada diri ini dan sahabat-sahabat sekalian, tetapkanlah kembali landasan hidup kita di atas landasan yang benar.. peganglah erat kalamullah 'azza wajaala dengan pegangan seerat-eratnya.. hidupkanlah kembali cara hidup sunnah Rsulullah s.a.w.. sesungguhnya hidup dgn cara sunnah itu membawa kejayaan.. Mantapkalnah diri kita dengan ilmu sebanyak-banyaknya.. Ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.. persiapkan diri kita untuk menempuh mehnah dan tribulasi akhir zaman.. Justeru itu, marilah kita beramai-ramai memboikot cara hidup Yahudi!! ayuh sahabat! jgn bertangguh lagi! mulakan sekarang!! takbir..ALLAHUAKBAR!!!


Tuesday, February 3, 2009

Awal Mukaddimah Biro Latihan & Penyelidikan


Kalam pujian dipanjatkan kepada Tuhan Rabbul Jalil, selawat & salam kepada junjungan Nabi Muhamada s.a.w. Biro ini telah mengadakan beberapa pertemuan bersama-sama ahli jwatankuasa kecil & biro ini menyasarkan beberapa aktiviti di bawah untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2009

  • Mengadakan Program Perkaderan SPMM ( Telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini )
  • Mengadakan kursus Fasilitator Gemilang
  • Mengadakan kursus Pidato & Pengucapan Awam
  • Mengadakan Program Smart Leader
  • Mengadakan Wacana Pemikiran & Pembangunan Intelektualisme Mahasiswa
Progra-program di atas merupakan teras kepada biro ini & aktiviti-aktiviti di atas menjadi aktiviti tahunan dalam takwim biro. Beberapa aktiviti cadangan yang menjadi perancangan :

  • Penyelidikan ke atas isu Palestin ( Alternatif kepada barangan yang diboikot )
  • Penilaian & pelaksanaan kepada dapatan pembentangan dalam Program Perkaderan
  • Program Alumni ESQ training di USIM
  • Survey dalam USIM mengenai SPMM USIM
  • Rutin mingguan mengemaskini blog ini
Dakwah Tiada Henti maka begitulah komitmen yang akan ditunjukkan oleh biro ini dalam mengembleng tenaga & memerah idea dalam usaha meningkatkan mutu dakwah di kalangan para duat di USIM. Semoga apa yang dirancang mendapat keberkatan & kemudahan daripada Allah Taala.