Thursday, March 26, 2009

DUNIA YANG MENIPU

PANDANGLAH, LIHATLAH, TAFSIRLAH DAN FIKIRKANLAH.

Saudara-saudariku sekalian, sesungguhnya kita manusia biasa ini sering lalai terhadap diri kita sendiri, kita selalu lupa dan alpa tentang hakikat kejadian kita digelar manusia, dijadikan Allah sebagai sebaik-baik kejadian tetapi lupa denganNya yang menjadikan kita sebagai manusia, sering hanyut dibuai oleh dunia yang bersifat tidak kekal ini… dan pada bila-bila masa sahaja dunia akan ditamatkan umurnya, sebab itulah dunia itu dinamakan dunia… kerana ertinya adalah semakin hampir atau sudah dekat, kata sebahagian ulama Bahasa Arab.

Sesuailah pengertian itu yang menunjukkan bahawa dunia ini semakin hari, semakin hampirlah umur dunia ini kepada tarikh hari kebangkitan iaitu hari penghabisan (qiamat). Ini dibuktikan melalui peristiwa Isra’ dan Mi’raj nabi besar junjungan kita Saidina Muhammad S.A.W. yang mana pada perjalanan Baginda semasa peristiwa itu Nabi Muhammad telah ditegur oleh seorang perempuan tua yang bongkok tetapi masih lagi berhias-hias. Tatkala ditanya oleh baginda kepada malaikat Jibril siapakah dia wahai Jibril? Nescaya Jibril pun menjawab itulah dunia yang sudah uzur dan tua, semakin tua semakin dihiasi dengan perhiasan-perhiasan.

Itulah saudara-saudariku sekalian realitinya keadaan dunia yang kita duduk ini sebenarnya sudah tua, tetapi isi dunia ini tetap dihiasi dengan keseronokan yang meruntuhkan sahsiah diri manusia, kepuasan yang menyebabkan hilangnya nilai-nilai murni seorang insani. Kemajuan yang merosakkan ummah, kegembiraan yang menjadikan manusia lupakan penciptanya, kemewahan yang melampau sehingga kekayaan mampu membeli agamanya, imannya, jiwanya, keluarganya, anak-anaknya, saudara-saudara seagamanya, kealpaan manusia yang mengakibat hilangnya maruah seorang diri insan dan macam-macam lagi.

Saudara-saudariku sekalian, sampai bila kita hanya menjadi bahan kealpaan dunia. Sesungguhnya bukan kita manusia yang mengikut arus dunia tetapi kitalah yang menjadi nakhoda kepada dunia.

Saudara-saudariku sekalian, sesungguhnya kita sesama Islam adalah bersaudara, kalau sakit saudara kita nescaya sakitlah diri kita, kalau pedih saudara kita pedihlah kita, kalau rosak binasa saudara kita maka rosaklah peribadi kita, kalau kecewa saudara kita maka kecewalah hati kita…..

Nah…. Kalau begitu bersama-samalah kita bangkit, jangan kita biarkan saudara Islam kita sakit peribadinya, jangan kita biarkan saudara kita kecewa, jangan kita biarkan saudara kita rosak dan binasa, jangan kita biarkan saudara kita sesat terkeluar dari landasan Yang Esa, jangan kita biarkan saudara kita daripada mati imannya.

Saudara-saudariku sekalian, marilah kita bersama-sama berganding bahu memikul tanggungjawab ini, kita bebaskanlah saudara-saudara kita itu dari noda dan dosa, kita tegurlah mereka dengan mau’izah dan hikmah. Semoga dengan teguran itu dapat menyedarkan mereka, kita bimbinglah mereka ke jalan yang diredai.

Saudara-sauariku sekalian, janganlah kita jadi insan yang tidak mahu ambil peduli, mementingkan diri-sendiri, membiarkan sahaja, berpeluk tubuh, berdiam diri dan hanya sanggup melihat sahaja. Sesungguhnya seandainya inilah yang terjadi nescaya hilanglah sifat kasih sayang bagi kita yang bergelar insan.


MUTIARA IMAN

Penduduk Basrah pernah mengajukan pertanyaan kepada seorang ulama sufi terkemuka pada abad ke-tujuh iaitu Ibrahim bin Adham semasa beliau berkunjung ke sana mereka bertanya:

Mengapakah keadaan dan nasib kami tidak berubah, sedangkan kami sentiasa memohon doa kepada Allah? Bukankah Allah telah berjanji “Berdoalah kepadaku nescaya ku perkenankan”.

Ibrahim bin Adham pun menjawab, bahawa ada 10 macam sebab doa itu tidak dijawab oleh Allah:

1 – Kamu mengaku mengenal Tuhan tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
2 – Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak mengamalkan isi kandungannya.
3 – Kamu mengaku mencintai Rasulullah S.A.W. tetapi kamu tidak mengikut sunnahnya.
4 – Kamu mengaku menjadi musuh syaitan, tetapi kamu patuh kepadanya.
5 – Kamu berdoa untuk melepaskan diri dari neraka, tetapi kamu lemparkan sendiri dirimu ke dalamnya.
6 – Kamu berdoa untuk masuk ke syurga tetapi kamu tidak beramal.
7 – Kamu mengatakan bahawa mati itu pasti datang, tetapi kamu tidak mempersiapkan diri (dengan bekalan) buat menghadapinya.
8 – Kamu sibuk mengurus aib saudaramu, tetapi kamu tidak melihat aibmu sendiri.
9 – Kamu makan nikmat Tuhanmu, tetapi kamu tidak bersyukur kepadaNya.
10 – Kamu turut menguburkan orang yang meninggalkan dunia tetapi kamu tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut.

No comments:

Post a Comment